ISU PEMBUANGAN BAYI
DEFINISI
PEMBUANGAN BAYI
Menurut Kamus Dewan edisi keempat,
pembuangan bayi ini adalah perkataan ‘buang’ membawa maksud iaitu mencampakkan,
melemparkan, menghapuskan dan menghilangkan. Perkataan ‘bayi’ pula bermaksud
anak kecil yang baru dilahirkan oleh ibu. Manakala maksud pembuangan bayi pula
adalah perbuatan mencampakkan atau menghapuskan anak kecil yang tidak berdosa ke
merata-rata tempat tanpa ada sifat berperikemanusiaan. Bayi merupakan anugerah Tuhan yang
paling berharga kepada pasangan suami isteri tetapi bayi juga menjadi bebanan
kepada pasangan-pasangan kekasih yang telah terlanjur dan tidak bersedia
memikul tanggungjawab di usia yang masih mentah iaitu usia remaja. Akibat
daripada tiada perikemanusiaan, bayi telah menjadi mangsa dan kesannya mereka
hidup tanpa mengenal ibu bapa kandung. Ajaran islam dalam pembuangan dan
penguguran bayi diharamkan dalam kalangan masyarakat Islam. Ianya dianggap satu
dosa yang amat besar keran membunuh dengan niat.
FAKTOR
TERJADINYA GEJALA PEMBUANGAN BAYI
1.
Kurang didikan agama dalam diri
Dalam
hal ini, tidak boleh dinafikan lagi bahawa kekurangan didikan agama antara
faktor dominan gejala pembuangan bayi ini berleluasa umpama virus epedemik yang
semakin merebak terutamanya dalam kalangan remaja. Masalah ini terjadi apabila
rohani seseorang remaja tidak diisi dengan ajaran agama yang kukuh oleh ibu
bapa sejak kecil lagi. Mereka mudah terjebak ke kancah penghinaan ini akibat
terpengaruh oleh bisikan syaitan iblis yang menghasut mereka untuk melakukan
perkara yang bertentangan dengan ajaran agama Islam. Oleh yang demikian, remaja
yang tidak mempunyai ilmu agama yang kukuh ini tidak dapat membezakan mana yang
halal dan mana yang haram. Tamsilnya, mereka menjalankan hubungan di luar tabii
antara lelaki dan perempuan sehingga menyebabkan remaja perempuan tersebut
mengandung sebelum ada ikatan yang sah. Bagi menutup rasa malu, mereka
mengambil jalan pintas dengan meninggalkan anak yang baru dilahirkan di
tempat-tempat seperti tandas awam, tong sampah dan lebih teruk lagi, ada
segelintir daripada mereka sanggup membunuh dan membakar darah daging mereka
sendiri semata-mata mahu menghilangkan bukti hasil daripada hubungan sulit
mereka. Jelaslah bahawa, kurang didikan agama menyebabkan terjadinya gejala ini
semakin meruncing.
2.
Pengaruh rakan sebaya
Faktor
kedua terjadinya gejala ini adalah disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. Hal
ini demikian, pada usia muda, remaja amat mudah dipengaruhi oleh rakan
terutamanya rakan mereka yang berperangai negatif dan tidak bermoral.
Tamsilnya, remaja ini mudah terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan untuk
melakukan perkara-perkara yang diluar batasan agama dan diharamkan dalam Islam.
Mereka melakukannya kerana inginkan kebebasan dan keseronokan duniawi. Misalnya
menghisap dadah, bergaul antara lelaki dan perempuan tanpa batasan dan lebih
malang lagi mereka melakukan seks rambang sehingga ada sesetengah mereka
mengandung anak luar nikah. Akibat daripada
perbuatan terkutuk itu, mereka mula
merasa menyesal dan tidak menemui jalan penyelesaian apabila didapati pasangan
mereka tidak ingin bertanggungjawab dan akhirnya mengambil jalan mudah dengan
membuang darah daging mereka sendiri. Mereka seperti
“manusia” yang berhati binatang yang sanggup membunuh darah daging sendiri.
Sebenarnya, golongan ini lebih teruk dan hina daripada binatang. Hal ini
demikian kerana jika dibandingkan dengan binatang, mereka pun tahu sayang akan
anaknya, mencari makan dan melindungi anaknya daripada ancaman bahaya
sekeliling.
3.
Sikap remaja yang ingin mencuba sesuatu yang baru
Punca
seterusnya ialah tidak dinafikan lagi bahawa remaja pada zaman moden ini
mempunyai naluri untuk mencuba sesuatu yang baru. Setiap perkara yang dilarang,
itulah yang ingin diterokai oleh mereka. Kebiasaannya mereka gemar melakukan
sesuatu benda yang menarik dan jarang dilakukan oleh remaja yang lain
terutamanya melakukan hubungan seks sehingga terlanjur dan hamil. Remaja yang
baru berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang sememangnya mudah
dikuasai oleh perasaan ingin mencuba dan meniru aksi-aksi atau adegan-adegan
panas bagi memuaskan nafsu mereka. Seterusnya berlaku peningkatan kes
pembuangan bayi akibat perbuatan terkutuk mereka. Bagi mereka, keseronokan
adalah perkara utama ketika berada dialam remaja. Tanpa memikirkan dosa dan
maruah diri sebagai seorang remaja perempuan islam serta maruah keluarga,
mereka sanggup mengadaikan mahkota diri sendiri akibat tewas dengan kata-kata
dan janji manis serta tipu muslihat dari seseorang bergelar lelaki. Sikap
remaja yang ingin mencuba sesuatu ini sebenarnya mereka tidak mengetahui baik
dan buruknya serta akibat yang bakal ditanggung oleh mereka. Oleh yang
demikian, sebagai remaja yang berfikiran matang, mereka seharusnya berfikiran
rasional dan bijak dalam menilai sesuatu perkara supaya tidak menyesal
dikemudian hari. Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian
tiada guna.
4. Keruntuhan institusi keluarga
Institusi kekeluargaan yang rapuh juga adalah faktor utama penglibatan
remaja dengan gejala kehamilan dan pembuangan bayi. Pensyarah di Akademik
Islam, Universiti Malaya, Prof, Madya Hashim Yahya, menyatakan beliau tidak
menafikan gejala sosial yang kedengaran hari ini adalah antara tanda-tanda yang
menunjukkan masyarakat Islam sudah mula tidak mengambil berat tentang betapa
pentingnya institusi keluarga. Dewasa ini, ramai ibu bapa tidak dapat
membahagikan masa antara kerjaya dan anak-anak. Bagi mereka, remaja tidak perlu
diberi perhatian kerana mereka sudah boleh berdiri di atas kaki sendiri. Umum
mengetahui, keluarga merupakan antara orang yang paling rapat dengan remaja
terutamanya dirumah. Ibu bapa seharusnya meluangkan masa walau sibuk sekalipun,
mereka sepatutnya memperuntukkan waktu bersama anak- anak agar remaja merasakan
diri mereka sentiasa disayangi dan di hargai oleh kedua orang tua mereka
sendiri. Sekiranya ibu bapa peka terhadap anak-anak, secara tidak langsung
masalah yang tidak diingini seperti ini dapat di atasi kerana mereka sentiasa
berada dibawah panjagaan ibu bapa. Janganlah menjadi ibu bapa yang hanya sibuk
mengejar dan mencari harta duniawi sahaja
sehingga menyebabkan tanggungjawab dalam
mendidik dan memantau setiap perlakuan anak diabaikan. Sekiranya ibu bapa terus
bersikap acuh tak acuh dalam mendidik anak, ia akan memberikan impak yang negatif.
Kesannya, anak-anak mudah terlibat dalam perbuatan sumbang ini kerana mereka
merasa dirinya kosong dan tidak berguna akan
mula mencari perhatian dan kasih saying dari rakan-rakan.
IMPAK DARIPADA PEMBUANGAN BAYI
Gejala pembuangan bayi pada hari ini tidak
hanya memberi kesan negatif kepada individu yang terlibat sahaja, malah ia juga
akan mendatangkan kesan buruk dan turut dirasai oleh pelbagai lapisan
masyarakat.. Gejala sosial ini juga turut memberikan impak yang begitu besar
kepada sesebuah negara. Umum mengetahui, remaja merupakan asset terpenting negara
pada masa hadapan yang memainkan peranan utama dalam pembangunan negara. Bak
kata peribahasa melayu, ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’
1. Pembinaan
negara akan terbantut dan ekonomi negara tidak berkembang.
Antara salah satu impak negatif yang akan di tanggung oleh negara akibat
kes pembuangan bayi ini ialah pembangunan negara Malaysia akan terbantut serta
ekonomi negara akan turut terjejas. Seperti yang sedia maklum, jatuh bangun
sesebuah negara bergantung kepada generasi masa kini. Sekiranya generasi masa
kini sering terlibat dalam masalah sosial, secara tidak langsung akan
mendatangkan kesan yang amat buruk. Oleh yang demikian, para remaja masa kini
harus menerapkan nilai- nilai murni serta mereka perlu menjaga akhlak mereka
sebagai hamba Allah s.w.t. agar dijauhi daripada melakukan perkara- perkara terkutuk seperti berzina.
2. Kesan kepada
bayi dan ibu bayi.
Apa
yang lebih teruk, bayi-bayi ini mati akibat daripada perbuatan yang dilakukan
oleh manusia yang tidak mempunyai hati nurani kerana bayi-bayi ini dibuang di
tempat yang tidak sepatutnya diduduki oleh bayi yang masih lemah dan kecil,
misalnya dibuang di tandas, rumah kosong, sungai, longkang, tong sampah atau
rumah ibadat. Selain itu,tempat-tempat tumpuan awam seperti gerai makan, stesen
kereta api dan pintu pagar klinik kesihatan turut menjadi pilihan. Malah ia
juga akan member kesan yang buruk kepada ibu bayi berkenaan atau lebih tepat
lagi pesalah. Hal ini kerana, sewaktu pesalah melahirkan anak, mereka tidak
berada dalam keadaan dan situasi yang selesa dan mengizinkan. Tanpa persediaan
yang rapi, pesalah ini pastinya mengalami jangkitan kuman yang serius,
kecederaan semasa melahirkan anak, dan juga kehilangan darah yang banyak.
Majoritinya, mereka melahirkan anak dengan menggunakan kudrat sendiri tanpa
pertolongan daripada pihak hospital dan pihak lain. Selain itu, pesalah juga
sudah semestinya mengalami pelbagai masalah dalam diri seperti kemurungan,
hilang keyakinan diri, dan juga masalah emosi. Hal ini akibat daripada
perbuatan mereka sendiri yang sememangnya salah dari segi undang-undang, agama,
dan negara.
3. Kesan kepada masyarakat.
Kes
pembuangan bayi ini juga mampu memberi impak kepada masyarakat sekeliling.
Antara kesannya ialah menjejaskan imej masyarakat sekeliling. Sebagai rakyat
yang hidup dalam komuniti yang sama, mereka pasti berasa kecewa dengan apa yang
berlaku. Dalam hal ini, remaja atau pelaku sudah semestinya dipersalahkan
kerana gejala yang tidak bermoral ini berpunca daripada sikap mereka.
Peribahasa yang sesuai dengan situasi ini ialah, “Kerana nila setitik, rosak
susu sebelanga”.
RASIONAL
TINDAKAN KERAJAAN DALAM MENANGANI ISU INI.
Kebejatan manusia alaf moden semakin
terzahir dengan penemuan banyak mayat bayi yang tidak berdosa. Lunturnya nilai
kemanusiaan dalam kalangan masyarakat merupaka faktor terjadinya permasalahan
ini. “Cegah sebelum parah”, itulah cara yang paling efektif untuk membanteras
isu pembuangan bayi dari terus berleluasa. Antara langkah yang
drastik patut dipraktikkan bagi menangani isu pembuangan bayi ini ialah melalui
peranan pihak berkuasa dan media massa, ibu bapa dan badan-badan NGO serta
masyarakat juga perlu berganding bahu mengatasi isu ini dari terus meruncing. Dalam mengejar
arus pemodenan ini, kemelut pembuangan bayi tidak harus dipandang sepi. Oleh
itu, pihak media massa hendaklah menyekat program-program hiburan yang
melalaikan serta dapat merosakkan akhlak remaja. Sebagai contoh, filem-filem
yang berunsur negatif dan mengandungi adegan-adegan lucah haruslah disekat
seperti 18sx . Sekiranya pihak media massa memandang enteng akan isu tersebut,
ia boleh menyebabkan kadar gejala sosial semakin meningkat seterusnya kadar
pembuangan bayi juga akan turut meningkat.
Bukan itu
sahaja, pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan segera untuk menangani
masalah ini dengan menguatkuasakan undang-undang dengan lebih ketat lagi.
Tamsilnya, mengenakan hukuman yang maksimum ke atas pasangan yang melakukan
zina seperti menjatuhkan hukuman sebat kepada mereka yang terlibat. Hukuman
yang setimpal mesti dilaksanakan supaya dapat memberikan pengajaran kepada
remaja yang terjebak dalam kes pembuangan bayi dan juga kepada remaja yang
lain. Dengan penguatkuasaan
undang-undang, secara tidak langsung mungkin
dapat mengurangkan kes pembuangan bayi serta mesalah keruntuhan akhlak dalam
kalangan remaja dapat di atasi.
Di samping itu, pihak
kerajaan juga harus mempergiatkan lagi kempen-kempen kesedaran. Hal ini
demikian dapat membangkitkan kesedaran remaja terhadap isu ini. Justeru itu,
kerjasama daripada media massa dan media cetak amatlah diperlukan bagi
menjayakan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Peranan daripada
media ini penting dalam menghebahkan dan membuat liputan secara besar-besaran
tentang kempen yang dilaksanakan. Sebagai
contoh, pihak kerajaan boleh mengadakan program motivasi atau kempen kesedaran
seperti “Dosa Besar”, “Anda Bijak Jauhi Zina” dan “Adab Bergaul” mampu
menguatkan lagi rasa keinsafan dan ketakutan remaja dalam melakukan dosa.
Ibu bapa memainkan
peranan yang penting dalam menangani masalah ini daripada terus berleluasa.
Langkah drastic yang boleh dilakukan oleh para ibu bapa ialah menghantar
anak-anak ke kem motivasi atau seminar jati diri. Hal ini demikian kerana ia
juga merupakan salah satu cara yang berkesan untuk membanteras gejala ini.
Sekiranya anak-anak menyertai kem tersebut, secara tidak langsung minda mereka
akan terbuka. Kebiasaannya mereka akan didedahkan dengan pelbagai isu semasa
yang melanda Negara. Sekaligus akan memberikan informasi tentang kesan-kesan
negatif yang akan ditanggung sekiranya mereka terlibat dalam jenayah tersebut.
Contohnya, kes pembuangan bayi amat digeruni kerana nyawa si ibu atau pesalah
terancam akibat proses melahirkan anak yang salah dan tidak normal tanpa ada
pengawasan daripada doktor. Jelaslah bahawa dengan menyertai kem motivasi ini
secara tidak langsung akan menerbitkan kesedaran dalam diri remaja tentang
keburukan kes pembuangan bayi. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa melayu,
“mencegah lebih baik dari mengubati”.
Intihanya, masalah
pembuangan bayi dipengaruhi oleh banyak faktor. Oleh itu, peranan daripada
semua pihak amat diperlukan untuk mengatasi masalah ini sebelum semakin parah.
Pelbagai pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk
menyelesaikan kes pembuangan bayi yang semakin rancak berlaku di negara kita.
Gejala ini akan terus menular dan menjadi duri dalam daging jika tidak
ditangani segera. Sekiranya gejala ini tidak dicegah, akan membawa impak
negatif kepada negara. Imej negara akan tercemar dan dipandang rendah oleh
negara luar. Senario ini persis peribahasa melayu, “kerana nila setitik, rosak
susu sebelanga”. Oleh itu, golongan yang bakal menerajui kepimpinan masa
hadapan perlu mempunyai sikap cintakan negara dan memusuhi kegiatan terhina
ini. Melalui usaha ini, hasrat kerajaan untuk melahirkan sebuah masyarakat yang
sihat dan terbilang dari segi lahiriah dan rohaniah dapat direalisasikan.
GAMBAR BAYI YANG TELAH DIBUANG
USAHA-USAHA UNTUK MENANGANI ISU INI