MATLAMAT DAN KEPENTINGAN PENDIDIKAN SEJARAH
Satu cara yang penting untuk mewujudkan perpaduan di dalam sesebuah negara ialah menerusi pendidikan. Dalam konteks Malaysia, hakikat bahawa pendidikan merupakan agen perubahan memainkan peranan yang penting dalam memupuk semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda atau pelajar. Pendidikan, sering kali dianggap sebagai teras utama ke arah perpaduan nasional dan pemupukan kesetiaan dalam kalangan rakyatnya. Setelah peristiwa 13 Mei 1969, kurikulum yang dirangka bertujuan menanamkan kesedaran individu, ciri-ciri dan nilai rakyat Malaysia yang berfikiran terbuka di samping menolak sentimen perkauman, warisan dan perbezaan yang sempit antara mereka. Tumpuan kemudiannya adalah kepada melahirkan negara bangsa yang bersatu padu dan pengukuhan kesetiaan dan patriotisme dalam kalangan generasi muda, khususnya pelajar sekolah.
Pendidikan sejarah telah dijadikan wahana utama dalam sistem pendidikan di Malaysia untuk mencapai matlamat di atas. Malah, cabaran pertama yang digariskan dalam gagasannegara adalah ke arah pembentukan bangsa Malaysia yang mempunyai matlamat yang sama. Ia perlu menjadi bangsa yang aman dengan integrasi wilayah dan etnik, hidup dalam harmoni, adil, saksama ke arah bangsa Malaysia yang taat dan setia kepada Negara. Masyarakat yang bersatu padu, berintegrasi, mengamalkan toleransi serta beridentiti nasional menjadi tonggak utama Dasar Wawasan Negara bagi membina bangsa Malaysia yang progresif dan makmur serta hidup dalam harmoni (Haminah binti Suhaibo:2010).
Dasar Pendidikan Kebangsaan menggariskan matapelajaran Sejarah sebagai alat yang boleh mewujudkan nilai perpaduan dalam diri individu tidak kira bangsa atau agama. Penekanan pendidikan Sejarah tertumpu kepada kesedaran sejarah, toleransi dan kepekaan masyarakat untuk berkongsi tanggungjawab terhadap masa depan negara. Malamat yang terdapat dalam pendidikan Sejarah ini bertepatan dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara iaitu menjadikan rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Rakyat yang dimaksudkan dalam Falsafah Pendidikan Negara ialah menonjolkan ciri seperti sentiasa berusaha mengekalkan kestabilan negara melalui perpaduan kaum serta amalan nilai-nilai murni seperti bekerjasama, tolong -menolong, berbelas kasihan, bertimbang rasa, hormat menghormati dan bertoleransi (Ee Ah Meng 1996).
Kepentingan mata pelajaran Sejarah ini turut disentuh oleh Omar Mohd Hashim (1991) yang berpendapat Sejarah ialah satu mata pelajaran yang memainkan peranan penting kearah mencapai matlamat pembangunan. Bagi negara kita yang masih dalam proses pembangunan, murid-murid di sekolah dapat ditanamkan semangat patriotik, kebangsaan serta kesetiaan kepada negara. Melalui pelajaran Sejarah, diharap dapat membina semangat perpaduan dan perasaan hormat-menghormati terutama dalam masyarakat berbilang kaum, keturuan, agama dan adat resam.
No comments:
Post a Comment